skip to Main Content
Pesanan Dari Pengarah Perubatan NCSM, Dr. Murallitharan.M Kepada Para Penderma Kami.

Pesanan dari Pengarah Perubatan NCSM, Dr. Murallitharan.M kepada para penderma kami.

Pandemik ini telah mewujudkan suatu situasi yang sangat mencabar bagi kita, warga Malaysia. Saban hari kita berjuang untuk memastikan bahawa kita dan ahli keluarga tersayang tidak menjadi mangsa wabak Covid-19 namun pada masa yang sama terus menjalankan aktiviti seharian untuk memastikan bahawa makan minum dan keperluan asas keluarga kita masih terurus. Kami di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia juga terus berikhtiar untuk terus bertungkus-lumus memastikan bahawa pesakit kanser di seluruh Malaysia terus mendapat rawatan dan sokongan yang mereka amat-amat perlukan, terutamanya pada masa terdekat ini.

Hakikatnya, wabak Covid-19 ini mungkin telah menyebabkan penghentian seketika pelbagai aktiviti seharian kita. Malangya, ini tidak benar tentang kanser, Warga Malaysia terus dibelenggui kanser, tanpa sebarang isyarat berhenti kerana wabak Covid-19 ini. Malah, lebih merisaukan adalah berita bahawa kajian menunjukkan pesakit kanser mempunyai risiko lebih tinggi untuk dijangkiti virus Covid-19 berbanding orang biasa; dan sekiranya mereka dijangkiti Covid-19 keadaan mereka jauh lebih parah – risiko mereka jauh lebih tinggi untuk memerlukan bantuan pernafasan (ventilasi), perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi ataupun meninggal dunia berbanding orang biasa.

Pada masa ini, jelas bagi kami (dan anda juga) bahawa perkhidmatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia sangat-sangat diperlukan, Maka, kami terus beroperasi malah telah meningkatkan perkhidmatan kami semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) ini untuk memastikan bahawa setiap pesakit kanser mendapat sokongan yang mereka perlukan.

Apa yang sedang kami lakukan semasa PKP ini?

1. Pakar-pakar kesihatan dan perawatan kami terus membimbing pesakit kanser untuk memulakan dan meneruskan rawatan kanser mereka.

2. Talian tol-bebas bantuan kanser kami terus membantu menasihati pesakit malah lebih giat dengan mengatur temu janji konsultasi, rawatan kemoterapi, radioterapi dan pembedahan; serta juga membekalkan surat rasmi Persatuan memohon pelepasan pesakit melewati sekatan jalan raya untuk mendapatkan rawatan.

3. Rumah Harapan Kanak-Kanak kami terus beropersai 7 hari seminggu dan memungkinkan pesakit kanser kanak-kanak dari seluruh Malaysia mendapatkan rawatan pediatrik onkologi di pusat rujukan ulung negara di Hospital Tuanku Azizah (Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur) sementara ditempatkan di Rumah Harapan Kanak-Kanak kami yang berisiko rendah, selamat, selesa dengan segala perlengkapan.

4. Sukarelawan Persatuan di merata pelusuk negara terus menyokong keluarga pesakit kanser yang kurang berkeupayaan dari segi kewangan dengan membantu mereka dari segi pembekalan makanan dan keperluan seharian yang lain.

5. Sukarelawan Persatuan juga giat mengumpul dan memberi sumbangan peralatan perubatan seperti Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) dan peralatan lain kepada hospital-hospital dan klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memerlukannya.

Segala usaha ini adalah hanya dimungkinkan kerana jasa baik anda, para penderma kami.Pada ketika ini, persatuan ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada para penderma kami. Sumbangan ikhlas anda yang tidak ternilai harganya sememangnya memberikan kekuatan dan kebolehan kepada organisasi kami untuk terus membantu pesakit kanser di seluruh Malaysia terutamanya dalam keadaan genting ini. Terima kasih atas sumbangan dan sokongan anda yang berterusan.

Sekiranya anda ingin menyokong NCSM dan pesakit kanser pada masa yang mencabar ini, sila layari: cancer.org.my/donate

Back To Top